Berita Harian - 9 January 2003
ORANG PEKAK GUNA TELEFON BIMBIT

Oleh Nor Affizar Ibrahim

MELIHAT orang pekak menggenggam telefon mungkin pelik kerana mereka tidak boleh mendengar dan kebanyakannya juga bisu. Itu dulu. Teknologi sudah mengubah segala-galanya. Mereka memiliki telefon bimbit bukan untuk bercakap tetapi sebagai alat perhubungan menggunakan perkhidmatan sistem pesanan ringkas (SMS). Dengan SMS, mereka begitu mudah untuk menghubungi keluarga atau rakan bagi memaklumkan sesuatu perkara atau di mana mereka berada.

Sejak perkhidmatan SMS diperkenalkan, ruang bagi orang pekak berhubungan lebih meluas. Kini kaedah perhubungan SMS begitu begitu meluas digunakan sesama orang pekak di Asia, termasuk Malaysia.

Mungkin ada yang tidak percaya bahawa walaupun kemudahan untuk Orang Kurang Upaya (OKU) di Barat banyak disediakan dan lebih maju, kaedah perhubungan menerusi SMS di kalangan orang pekak dipercayai dipelopori dan dipopularkan oleh golongan pekak dari negara Asia, khususnya di Jepun, Hong Kong, Singapura dan Malaysia.


DARI kiri Saw, Tan dan Teh menggunakan telefon bimbit untuk saling berhubung dengan cara SMS.
- Gambar oleh David Khoo

TEH Leong Eng, 36, dari pertubuhan orang pekak Pusat Majudiri Y, melalui jurubahasa isyarat, Lucy Lim, berkata cara perhubungan SMS digunakan sepenuhnya oleh golongan orang pekak. Berkomunikasi cara itu memudahkan sesama mereka.

"Saya suka cara perhubungan SMS. la cara komunikasi yang canggih, lebih mudah, pantas, menjimatkan masa dan berguna untuk kami. Jika dulu saya menggunakan faksimile dan alat kelui untuk berhubung rakan sekerja, sejak SMS diperkenalkan, ia memberi satu alternatif berkomunikasi kepada kami," kata Teh.

Beliau yang bekerja sebagai jurukamera bebas berkata, sebagai individu yang banyak bekerja di luar, perhubungan menerusi SMS begitu penting sama ada untuk menerima atau membalas mesej.

"Sebelum ini, jika ada perubahan masa, tarikh atau lokasi penggambaran, rakan sekerja sering mengalami masalah untukmenghubungi saya. Walaupun saya boleh dihubungi dengan alat kelui, saya masih ada masalah menelefon semula rakan yang memberi pesanan. Saya terpaksa menggunakan bantuan orang normal untuk berkomunikasi menerusi telefon bagi pihak saya," katanya.

Teh berharap perkhidmatan SMS diperluaskan terutama untuk kegunaan waktu kecemasan. Berbanding di negara Barat, cara komunikasi orang pekak di sana lebih mudah pada waktu kecemasan kerana ada perkhidmatan telefon awam yang menggunakan kaedah komunikasi TTY (Telecommunication device for the deaf).

"Bagi meningkatkan kebajikan untuk orang pekak, perkhidmatan talian kecemasan dan bantuan seperti jabatan polis, hospital dan sebagainya, perlulah diperkenalkan," katanya.

Pengalaman yang tidak boleh dilupakan:

"Saya pernah hilang dompet. Ketika itu, saya menghadapi masalah untuk memberitahu bank supaya membatalkan serta merta nombor pin kad ATM. Tidak ada orang yang boleh membantu saya untuk menelefon bank. Saya terpaksa bergegas ke bank untuk memaklumkan perkara itu. Ia membuang masa".

Tan Lee Peng, 22, pula berkata penggunaan SMS banyak membantunya berdikari. Jika dulu beliau terpaksa bergantung pada orang lain untuk memberitahu 'pergerakannya' kepada keluarga. Dengan SMS beliau dapat melakukan sendiri;

Untuk mendapatkan sebuah telefon genggam, Tan berusaha menyimpan wang walaupun selepas tiga bulan bekerja.

Risiko menggunakan SMS:

"Selain mesej lucah, remaja golongan pekak mesti sentiasa berhati-hati menggunakan SMS. Ibu bapa harus memberikan panduan. Memiliki telefon genggam bukan untuk tujuan berlagak. Mereka mesti bijak memanfaatkannya supaya tidak membazirkan wang membayar bil bulanan yang tinggi. Mereka juga harus berhati-hati apapila menerima mesej dari orang yang tidak dikenali kerana bimbang ada orang yang mahu mengambil kesempatan untuk memperdayakan kita.

Saw Huei Ching, 25, memang gemar meningkatkan pengetahuan, khususnya dalam penggunaan teknologi komunikasi moden. Justeru, apabila perhubungan kaedah SMS diperkenalkan, beliau mengamalkanya dalam kehidupan seharian.

Jika dulu beliau lebih senang menghantar e-mel (elektronik mel) kepada rakan untuk bertanya khabar, kini beliau lebih senang menggunakan SMS.

"Menghantar e-mel menerusi komputer agak leceh kerana bukan setiap hari kita ada masa membukanya. Jadi, cara paling mudah dan menjimatkan masa ialah menghantar SMS walaupun terpaksa belanja lebih untuk membayar bil telefon," katanya.

Cadangan untuk kemudahan Orang Pekak:

"Oleh kerana SMS banyak membantu golongan pekak dalam kehidupan seharian, saya harap syarikat telekomunikasi di negara ini memberikan lebih banyak keistimewaan yang dapat mengurangkan bebanan kepada golongan itu seperti mengenakan kadar pembayaran yang lebih murah, menjimatkan dan sebagainya".